Tuesday, December 2, 2008

Kenapa harga barang tak turun..?

Ramai orang mengomel mengenai harga barang. Rata-ratanya nakkan harga turun sejajar penurunan harga minyak. Semalam harga minyak turun lagi. Tapi harga barang tak turun juga, tak ikut minyak. Orang ngomel lagi. Menteri pun kelamkabut, siap warning kepada pemborong nak batalkan lesen.

Soalnya apakah kita berlaku adil dalam soal ni, hendaknya biarlah seperti jawi makan, dimamah dulu baru ditelan. Lebih-lebih lagi pak menteri, barulah kata-kata kita lebih wibawa.

Kerajaan dan kita juga sering meminta harga runcit barangan keperluan diturunkan sejajar penurunan harga minyak. Walau bagaimanapun tidak semua harga dapat diturunkan sertamerta. Kalau kerajaan boleh terima alasan tarif letrik tidak dapat diturunkan dengan alasan penjanaan tenaga letrik bukan menggunakan minyak tetapi arang batu (kita hairan, semasa kenaikannya dulu dikatakan kerana minyak), kenapa sukar sangat menerima hakikat harga barangan tidak dapat diturunkan. Agaknya inilah yang dikata gagak lalu punggur rebah. Bukankah tarif letrik juga penyumbang kepada kos barangan?

Beberapa faktor penentuan harga barang kadang-kadang dilupakan oleh ramai orang. Atau sengaja dilupakan. Gaji pekerja sentiasa dikatakan tidak cukup. Peniaga diminta menurunkan harga, yang tentunya menurunkan keuntungan. Pekerja pula minta naik gaji. Selain gaji, makan/minum dan tempat tinggal juga perlu disediakan.

Berapakah keuntungan yang didapati dari jualan barangan runcit - minyak masak, gula, beras, aiskrim, gula-gula, roti, majalah, suratkhabar dan banyak barang lagi. Bagi barangan kawalan, peniaga menanggung kerugian kerana menjualnya manakala bagi sesetengah barang tidak dikawal, keuntungan peniaga hanya cukup untuk memastikan perniagaan mereka tidak ditutup keesokan harinya. Harga barang dikawal oleh pengeluar. Berapa senkah untung yang boleh didapati dari produk Nestle yang kebanyakan dari kita tidak sedar bahawa harganya dikawal secara tidak langsung oleh pengeluarnya sendiri dan yang menariknya ia sentiasa naik.

Semasa pengilang minyak masak dikatakan rugi, kerajaan membayar berjuta RM kepada mereka dan seterusnya menetapkan harga barangan ini dikawal. Kini peniaga menjual barangan ini dengan menanggung rugi, tetapi kebajikan mereka tidak pernah difikirkan. Bersuara pun tak dipedulikan. Bagai berseru di padang pasir rasanya.

Pernahkah kita bertanya berapakah sewa kedai mereka, tak kiralah samada kedai runcit/minimarket ataupun kedai makan/restoran. Kadar sewa premis perniagaan tidak pernah turun.

Mengurus harga barangan seumpama membawa getah ke dalam semak.Kerajaan harus mencari mekanisma baru yang lebih saksama. Kita harus melihat dan mentafsir dengan lebih adil kerana kita bukan sahaja perlu mendapat keadilan tetapi juga berlu bersikap adil.

No comments: