Sesekali bila teringat dapatan (finding) oleh JPA mengenai kakitangan awam, sedih juga rasanya. Manakan tidak, kajian mendapati tidak ada kakitangan awam yang jujur. Perkhidmatan awam telah menjadi tempat dimana berlonggoknya sekumpulan manusia yang tidak jujur. Sekiranya anda yang membaca artikel ini adalah juga kakitangan awam, maka anda juga tergolong sebagai manusia yang dikatakan sebagai tidak jujur itu.
Tidaklah kita tahu bagaimana kajian itu dibuat dan berapa banyak respondennya tapi tentulah kenyataan itu tidak sewenangnya dikeluarkan. JPA semestinya tidak semberono mengenainya. Yang dekat tentu dapat ditunjal, yang jauh dapat ditunjuk.
Seharusnya dapatan JPA itu jadi pemangkin untuk kita menghisab diri sendiri dan melihat kembali ke dalam diri kita, apakah kita ini bersifat seperti responden yang terlibat dalam kajian tersebut.
Tak susah untuk menghisab diri sendiri sekiranya kita jujur melakukannya.
Berapa kerap kita keluar minum, jalan-jalan pergi bank, ambil atau hantar anak ke sekolah. Berapa lama pula masa yang diambil untuk urusan-urusan tersebut. Kenapa mesyuarat sebelah petang selalu bermula jam 2.30 sedangkan masa rehat rasmi tamat jam 2.00. Cubalah kita jadualkan mesyuarat petang jam 2.00. Agak-agaknya berapa ramai yang hadir tepat pada waktunya.
Bila direnungkan, tak seronok rasanya mencuri waktu kerja tapi kita lakukan juga. Bak kata pepatah, habis geli oleh geletek, habis rasa oleh biasa.
Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.Kalau sehari kita mengambil 30 minit dari masa bekerja kita untuk urusan peribadi, satu minggu kita telah ‘ter’ambil 2jam 30 minit atau 10 jam sebulan. Itu pun kalau kerja 4 minggu sebulan.
Kita tukarkan jumlah jam itu kepada RM. Kiranya emolumen kita RM3k sebulan, bermakna kita dibayar RM12.50 setiap jam. Darabkan angka ini dengan 10 jam yang kita ‘ter’ambil itu, dapatlah kita RM125.00. Walaupun kita telah tidak bekerja untuk tempoh yang ‘ter’ambil itu, emolumen kita tetap dibayar. Tidak dipotong walau sedikit pun. Tidak pula kita dengar ada kakitangan awam yang memulangkan sedikit emolumennya walaupun keluar rehatnya secara berlebihan menjadi rutin harian.
Dengan matematik mudah tadi, cuba soal diri kita, adakah rezki kita sebenarnya bersih untuk kita dan keluarga menikmatinya. Janganlah nanti kita merungut bila anak-anak kita berperangai dan isteri/suami ikut berperangai juga. Di hulu keruh di hilir pun tentu keruh juga.
No comments:
Post a Comment