Saya terbaca dalam suratkhabar semalam pasal kahwin express. Yang terkini kes penceraian Roslin Hashim selepas 19 hari bergelar suami. Atas alasan apapun, bebannya tentu lebih kepada bekas isteri. Bacalah rungutan saudara bekas isteri pemain badminton ini.
Membaca kisah penceraian beliau, teringat saya kepada perbualan saya dengan sahabat saya, Tuan Kadhi Bahagian Pantai Barat satu ketika dulu. Kalau tak silap saya tahun 1998. Waktu tu, saya bertugas di Sabah. Pejabat di Wisma MUIS. Maka sesekali waktu minum pagi, terjumpalah tok-tok kadhi ni. Kata sahabat saya ni, setiap hari puratanya, 2 kes penceraian berlaku di KK. Dan kebanyakan kes melibatkan pasangan di bawah umur 30 tahun. Mengejutkan.
Saya bertanya kepada sahabat saya ini, bolehkah poligami itu dimudahkan. Sekurang-kurangnya bekas-bekas isteri orang ini mudah mendapat jodoh kembali. Dia bertanya saya… Bos maukah?..
Pembaca wanita yang membaca tulisan ini agaknya tentu marah bila soal ini dibangkitkan. Poligami jarang mendapat tempat dihati wanita. Yang lelaki orait je. Nak tau kenapa? “Tepuk dada tanya selera”.
Bagi masyarakat Barat, pemikiran dan undang-undang mereka tidak boleh menerima poligami. Kerana poligami itu dikatakan amalan orang Islam, maka ianya tidak boleh diterima pakai. Pada mereka apa saja yang datangnya dari Islam tidak akan diterima. Usah dihairan sikap yang begini kerana Islam begitu menakutkan. Sebab itulah Islam dimusuhi mereka dimana saja.
Secara umumnya nilai Barat menganggap poligami adalah satu penghinaan terhadap wanita tetapi memiliki perempuan simpanan adalah perkara biasa. Bahkan menjadi trend bagi mereka duduk bersama tanpa ikatan. Data terkini yang dikeluarkan di Amerika menunjukkan bahawa sejak keputusan Mahkamah Agung pada tahun 1973 yang membenarkan pengguguran kandungan, sebanyak 50 juta kes pengguguran telah dilakukan. Ianya makin meningkat dari sehari ke sehari. Sekarang ini, berdasarkan data yang ada, berlaku 164 kes pengguguran setiap jam atau 2.7 kes setiap minit.
Penyakit Barat ini secara beransur-ansur telah menular ke dalam masyarakat kita. Di zaman ini, untuk seseorang lelaki itu mendapatkan wanita secara haram amat mudah sekali. Kata orang, “petik saja jari”.
Di satu pihak kita takut perkara ini berlaku, di satu pihak lagi kita biarkan ianya berlaku. Kita mempunyai preskripsi tapi tidak mahu menggunakannya. Kita gunakan pelbagai alasan untuk tidak menggunakannya.
Ramai menganggap cuma Islam sahaja yang membenarkan poligami walhal agama lain juga turut membenarkannya. Kitab Bible tidak menghadkan bilangan isteri. Yang menghadkannya hanyalah gereja. Apakah gereja lebih tinggi kedudukannya dari kitab itu. Kenapakah “sudu lebih dari kuahnya”.
Dalam masyarakat Yahudi, berdasarkan undang-undang Talmud, poligami dibenarkan. Nabi Ibrahim tiga isterinya. Nabi Sulaiman pula dikatakan mempunyai 100 isteri. Masyarakat Yahudi Sephardic terus mengamalkan poligami sehingga tahun 1930 an.
Poligami melalui sejarahnya adalah untuk menyelamatkan wanita-wanita yang kehilangan suami samada melalui peperangan atau penceraian. Mereka ini mungkin masih muda dan perlukan belaian dan perlindungan. Kepada siapakah mereka ingin dapatkannya. “Meminta biar pada yang ada, mengadu biar pada yang sayang”. Orang bujang tentunya mahu yang muda dan dara. Maka pilihannya adalah lelaki yang matang dan mampu. Tetapi lelaki ini tentunya telah beristeri. Di mana kan dicari lelaki matang, stabil dan mampu yang masih bujang.
Poligami dituduh berteraskan nafsu. Kiranya tuduhan ini benar apakah yang tidak berpoligami itu tidak bernafsu. Saya kira bukan semua lelaki sanggup berpoligami. “Mengemudi dua bahtera” bukannya mudah. Apalagi tiga atau pun empat. Oleh itu bagi yang sanggup, dia harus dihormati kerana kesanggupannya menanggung risiko dan ada nilai tanggungjawab yang tinggi dalam dirinya terhadap wanita.
Teringat saya satu ketika dulu dalam satu ceramah motivasi…
Dewan taklah besar. Bolehlah muat sekitar 300 kerusi. Hari tu tidak ada kerusi yang kosong. Malahan ada peserta yang berdiri di sekeliling dewan. Peserta majoritinya terdiri dari lelaki. Satu pemandangan yang agak berbeza sebab biasanya majlis-majlis begini kaum hawa yang ramai.
Si penceramah memulakan ceramahnya dengan mengajukan 2 soalan kepada hadirin. Secara terus dan spontan.
Soalannya yang pertama.. Siapa suka kahwin lagi?
Pelik soalan tu.. mula-mula dewan tak respond tapi kemudiannya bila soalan diulang.. tu dia.. hampir semua kaum adam mengangkat tangan. VVIP yang duduk di depan tak angkat tangan tapi senyum lebar. Tangan tak boleh angkat sebab mem kat sebelah. Tapi “sekilas ikan di air…”
Soalan kedua… siapa sanggup kahwin lagi?
Maka cuma ada dua tiga tangan saja yang diangkat sebagai tanda sanggup kahwin lagi.
Itulah sekelumit dari introduction si penceramah pada hari tersebut..
Kesimpulannya menunjukkan bahawa ramai lelaki sekiranya berpeluang, mau kahwin lagi, 2 atau 3 atau 4 tapi tak ramai yang sanggup kahwin lagi. Tan Sri P.Ramle memudahkan kita memahami fenomina ini.
Katanya, satu, banyak2, dua, sikit2, tiga, jarang2, empat, kadang2.
Moral ceritanya ialah lelaki di Malaysia ini banyak yang bertanggungjawab. Saya bukanlah bermaksud yang sanggup kawin lagi itu sebagai tidak bertanggungjawab malahan mereka lebih bertanggungjawab lagi kerana lebih berani mengambil tanggungjawab.
Kepada pembaca wanita, cuba-cubalah tanya kat suami..
Hingga jumpa lagi..
No comments:
Post a Comment