Saya cuba mengelakkan diri dari menulis berhubung politik. Bukan kerana tak berminat tetapi kerana tidak mahu ambil pusing mengenainya. Terlalu banyak putar belit di dalam politik. Terlalu banyak ‘spin doctor’ di dalamnya. Tetapi akhir-akhir ini saya menjadi amat risau. Kerajaan 1Malaysia nampaknya semakin garang menghakis hak anak-anak kita. Pelbagai perkara dipermainkan sehinggakan timbul persoalan adakah Malaysia pada satu ketika nanti masih menjadi HAK BANGSA MELAYU.
Teori RAHMAN telah sampai ke hujungnya. Samada percaya atau tidak. Samada kebetulan atau suratan bukan lagi satu persoalan. Ia telah pun terjadi seperti ramalan. Maha suci Allah telah menentukan segala kejadian
Kita diberi ilmu agar mampu mentafsir setiap kejadian. Tafsirlah sejujurnya. Adakah ini bermakna selepas N, UMNO akan tumbang atau lebih teruk lagi, adakah Melayu akan merempat di Tanah Melayu. Melihatkan apa yang berlaku sekarang ini, mampukah kita menjamin kuasa akan kekal di tangan kita. Kuasa pemerintahan Negara ditentukan oleh politik. Sesiapa menguasai politik dia menguasai Negara dan di negara kita ketika ini, UMNO menguasai politik yang juga bermakna Melayu menguasai Negara.
Ramai dari kita sedar UMNO adalah parti Melayu. Dari dulu sampai sekarang ia masih parti Melayu. Soalnya apakah ia masih lagi memperjuangkan kepentingan orang Melayu lebih dari memperjuangkan kepentingan mereka sendiri. Kenapa bila rasa tergugat, ia kembali menyebut ingin menjaga kepentingan Melayu atau adakah ia sebenarnya lebih risaukan kehilangan kuasa mereka.
Kita menyalahkan PAS kerana perpecahan Melayu tetapi pernahkah kita menyoal diri kita sendiri, apakah sebuah parti seperti PAS boleh mencipta perpecahan itu. Tak mungkin mereka mampu kiranya tiada dorongan pihak lain. "Mengata dulang paku serpih". UMNO seharusnya melihat peranan mereka dalam perpecahan ini.
Dengan kuasa dan wang ringgit yang ada, UMNO sendiri sebenarnya telah memainkan peranan yang cukup besar dalam perpecahan ini. Malah mereka masih terus melemahkan kuasa Melayu dengan pelbagai isu yang dicipta antaranya termasuklah isu Bahasa Melayu yang belum selesai, pembubaran MECD dan yang terkini pemilikan tanah bumiputera oleh orang asing dan biasiswa berdasarkan merit.
Semua perubahan itu dijustifikasikan dengan momokan globalisasi atau 1Malaysia atau demi menjamin kemampuan bersaing dipasaran bebas. Benarkah begitu. Kalau benar kenapa kelihatannya seperti keistimewaan Melayu sahaja yang dihakis.
Sikap double standard pendokong-pendokong UMNO juga amat memualkan. Kita marah Pas kerana bermuka-muka tapi kita diamkan diri bila pemimpin kita bermuka dua atau tiga. Kita kutuk PAS dan PKR berhabisan kerana isu yang kita sendiri spin selaju-lajunya.
UMNO juga amat keras terhadap orang Melayu tetapi menjadi lunak kepada kaum lain sehinggakan ada dikalangan pemimpin kita yang sanggup meminta maaf secara terbuka kepada mereka. Semua perlakuan ini dijustifikasikan kerana perpaduan. Tidak pernah merasa berdosakah mereka kepada bangsa mereka sendiri.
Inilah antara beberapa punca orang Melayu menjauhi UMNO kerana kita lihat UMNO bukan lagi seperti dulu. Bukan lagi seperti zaman TDM dan jauh sangat dari zaman Dato Harun. Perpecahan ini menjadikan kita lemah dan terpaksa mengharapkan sokongan kelompok lain bagi mengekalkan kuasa atau mendapatkan kuasa.
Kerana perpecahan inilah juga kita menjadi lemah. Lemah tanpa kita sedar. Lemah sehingga kita gagal mentafsir kenapa LKW sanggup menyeberangi Tambak Johor. Lemah juga menjadikan pemimpin kita tertunduk-tunduk kepadanya. Lemah pemimpin juga hingga begitu mudah dia dibenarkan berjumpa YDP Agong. Mungkinkah kita bukan lagi Negara berdaulat seperti sebelumnya.
Tidak adakah dikalangan pemikir-pemikir dalam UMNO yang dengan jujur melihat soal ini dari sudut kepentingan orang Melayu. Kita menyeru kepada pemimpin-pemimpin Melayu. Kuatkan perpaduan. Carilah persamaan di dalam perbezaan.
No comments:
Post a Comment