Wednesday, October 20, 2010

Balasungkawa- Ayah (Siri 5)

Sabtu, 21 Ogos 2010, ayah dibenarkan keluar hospital. Saya membawa ayah balik ke rumah di Putrajaya. Ayah bercadang nak balik Melaka pada hari Isnin, iaitu selepas kakak mendapatkan ubat dari HUKM,. Ubat cuma boleh dapat pada hari Isnin tu. Hari ni Sabtu. Esok Ahad. Farmasi HUKM tutup.

Emak ajak saya ke rumah kakak di Bukit Lanjan.

“Kakak kau tak telepon pun, jomlah kita pergi rumah dia”.

Mak memang begitu. Satu hari tak dengar suara kakak, dia mula macam tak selera nak makan. Lebih-lebih lagi masa dia atau masa ayah sakit. Saya bersetuju untuk hantar mak dan ayah ke rumah kakak tapi saya kena balik semula ke Putrajaya sebab kebetulannya saya agak sibuk ketika tu. Bulan puasa, sibuknya lebih sikit dari biasa.

Ayah kata takpa, kalau tak sempat. Lain kali ja.

Seperti biasa, ayah tak pernah memaksa kehendaknya kepada orang lain. Walaupun dia boleh berbuat demikian. Sebagai anak, siapalah saya untuk membantah kehendaknya.

Isnin 23 Ogos 2010, sekitar jam 5 petang.

Ayah dimasukkan ke hospital sekali lagi. Kali ni Hospital Putrajaya. Di A&E Hospital Putrajaya, ayah diberi bantuan segera. Terimakasih tidak terhingga kepada kakitangan A&E yang bertindak pantas membantu ayah. Semasa saya dan kakak di Bilik Menunggu A&E, doktor berpesan kepada kami supaya bersedia menerima apa saja berita mengenai ayah. Sakit jantung ayah amat serius.

Malam itu ayah dipindahkan ke CCU.

Setelah 4 hari di hospital. Jam 6.02 petang, 16 Ramadhan 1431H, ayah disahkan meninggal dunia. Innalillahiwainnalillahirajiun.

Malam itu aku membawa ayah balik ke Melaka.
Perjalanan terakhir aku bersama ayah.
Dalam kereta jenazah, keadaannya sama seperti perjalanan kami ke KL sebelum ini,
Ayah masih lagi disebelah ku.
Tapi kali ini dia tidak duduk, dia berbaring.
Kali ini dia tidak bercakap. Dia diam.
Perjalanan balik ini amat sunyi.
Kedengaran cuma suara bacaan al-Quran dari kaset yang dipasang pemandu
Tiada lagi suara ayah. Aku tidak akan mendengar suara itu lagi.. selamanya.

Kematian ayah amat memberi kesan kepada ku..
Semuga Allah memberi rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang Dia redhai

Alfatihah

Balasungkawa - Ayah (Siri 4)

Mendengar dan melayan ayah bercerita, saya tak perasan kami dah sampai KL. Sekali lagi ayah tanya saya, bolehkah dia datang hari ni, temujanji dua hari lagi.

“ Doktor tak marah ke nanti? Dia orang dah susah-susah tetapkan temujanji, kita datang hari ni”.

Itulah ayah, dalam keadaan sakit pun dia tetap tak mau susahkan orang. Dia pesan pada saya, jangan susahkan orang. Buat sendiri kerja yang kita boleh buat. Kalau jadi bos pun kena buat kerja juga. “Ular menyusur akar tak akan hilang bisanya”.

Satu lagi ayah pesan, kerja jangan ponteng, jangan “curi tulang”. Rezeki kena berkat. Rezeki famili kena jaga.

Setiba kami di A&E HUKM, ayah terus menerima rawatan. Tiub dimasukkan dalam salur kencing ayah. Baru saya tahu, rupanya ayah sukar untuk buang air kecil. Ayah terus dimasukkan ke wad. Maka malam itu, ayah tidur di hospital. Andaian asal kami bahawa ayah cuma datang untuk pemeriksaan sahaja jelas sekali meleset.

Malam itu emak mula bermalam di rumah saya tapi emak tidak betah duduk di rumah.

“Kau hantarkan aku pergi hospital. Biar aku je jaga ayah kau kat sana. Orang lain mana paham ayah kau”

Kuat semangat emak. Sebenarnya dia pun bukannya kuat sangat. Semangat je yang kuat. Naik tangga kat rumah pun dah tak larat. Ada hati nak duduk hospital jaga ayah. Tapi itulah lambang setianya seorang isteri. Semuga Allah menempatkan emak dikalangan orang-orang yang diredainya. Bukankah Nabi S.A.W pernah menegaskan bahawa syurga itu untuk isteri yang taat.

Mulai hari itu, kami adik beradik bergilir-gilir menjaga ayah di hospital. Anak-anak buah pun datang juga. Mereka dah besar-besar. Ada yang dah berkeluarga. Yang akan berkeluarga pun ada juga. Meriahlah juga hospital bila kami dah datang beramai-ramai. Macam-macam makanan dibawa kami. Ada yang kami beli, ada yang kami masak sendiri. Ayah kata makanan hospital tak sedap. Tak selera dia nak makan.

Kebetulannya, masa kami berada di katil ayah, petugas hospital bawa makanan untuk ayah. Kami cepat-cepat buka penutup makanan untuk melihat apa yang dihidangkan. Lagi pun ayah kata dia sangat lapar.

Sebaik saja penutup makanan dibuka, baunya terus menerjah hidung. Hanyir. Cepat-cepat kami tutup semula. Baunya pun dah mengikis selera kami.

Kalau orang sihat pun tak lalu nak ambil makanan tu. Macam manalah pesakit nak makan.
Pesakit seharusnya diberi makanan yang menyelerakan, bukan memualkan. Setahu saya, kalau nak baik sakit, tentulah kena makan.

Bukankah elok kalau makanan yang dimasak untuk pesakit turut dimakan oleh Dietition hospital ataupun sesekali dihidangkan untuk mesyuarat ketua-ketua jabatan di hospital. Syaratnya makanan tersebut hendaklah sama seperti yang dihidangkan kepada pesakit, bukan yang dimasak khas.

Satu perkara lagi, kenapalah katil pesakit diletak dihadapan pintu toilet wad. Buka saja pintu, bau toilet keluar. Rasanya orang-orang bijak tak buat cam ni. Tak taulah pulak kat HUKM.

Balasungkawa - Ayah (Siri 3)

Perjalanan ke HUKM tidak membosankan. Selalunya saya mengantuk kalau memandu kat highway. Isteri saya selalu duduk sebelah kalau saya memandu. Nak temankan katanya. Takut saya mengantuk walaupun selalunya dia lebih lama lena dari jaga sepanjang perjalanan tu.

Tapi bila ayah duduk di sebelah. Hilang rasa mengantuk. Tak perlu kena Nescafe. Ayah cerita macam-macam perkara. Dari politik zaman Tunku sampai sekarang. Dia penyokong tegar Perikatan (sekarang UMNO). Saya masih ingat satu ketika dulu bilamana Dr Mahathir marahkan Tunku. Ayah kata. Kalau tidak kerana Tunku, belum tentu kita dapat merdeka masa tu. Dia masih teringat bagaimana orang-orang kampung melurutkan gelang ditangan. Derma kepada tabung untuk tambang Tunku pergi England. Ayah kata, jasa Tunku amat besar.

Tunku ni sapa dia tak tegur. Dalam suratkhabar Star, Mahathir teruk dia tegur. Suratkhabar ni milik MCA, tapi orang kata “Syarikat Tunku Abdul Rahman (Star)”. Tunku penulis tetap ruangan “As I see It” Bukan saja Mahathir dia tegur, Tun Razak pun teruk juga kena belasah olehnya.

Star pernah kena haram seketika. Diterbitkan semula dengan ditiadakan ruangan untuk Tunku.

Masa Anwar Ibrahim nak lawan Ghafar Baba dulu pun ayah tak setuju. Ayah kata orang UMNO dah tak kenal Ghafar Baba. Orang sekarang tak kenang budi.

Bila tanya pasal Najib. Ayah kata dia tak macam Tun Razak. Ayah tak cerita pulak pasal apa dia cakap macam tu. Cuma ayah kata Mahatihir patut perintah lagi.

Inilah sebenarnya antara pandangan orang Melayu dari kampung. Orang yang pernah berjuang menentang komunis . Yang pernah berada di beberapa zaman pemerintahan Tanah Melayu. Dari zaman perang Jepun, zaman bintang Tiga dan zaman merdeka.

Balasungkawa - Ayah (Siri 2)

Semasa saya di High School Melaka, ayah bawa lori kargo. Lori Malaysia. Saya pernah tumpang lori ayah untuk pergi sekolah. Ayah bawa barang dari Singapura ke Pulau Pinang, pergi balik. Kadang-kadang pergi tempat lain juga. Kuantan, Kota Baru, Alor Setar. Habis satu Tanah Melayu ayah jajah. Teman ayah, Pak Long Usop. Dia meninggal lama sudah. Dulu dari ayah.

Saya masih ingat, semasa tu, kelibat ayah cuma kami lihat dihujung minggu sahaja. Walaupun ayah jarang berada di rumah, saya tahu, dia amat penyayang. Kalau ke Singapura, ada saja ole-ole dari sana. Terutamanya makanan dalam tin. Saya suka Laici. Makan buahnya saja. Sirap buang. Masa tu nilai duit Malaysia / Singapura sama saja. Harga barang di Singapura pun bukan main lagi murahnya.

Ayah juga amat garang pasal pelajaran. Maka tidak hairanlah kami tidak berani menunjukkan report kad kepadanya. Kami lebih rela menunjukkan kepada Datok kerana datok lebih relax. Kalau ada markah kena tulis dengan dakwat merah, terkekeh-kekeh datok ketawa.

“He, he… Apa engkau dah buat ni sampai dapat markah merah, cikgu engkau dah habis dakwat hitam ke ?’ Dalam gelak datok tegur.

"Kalau ayah engkau nampak ni, mati engkau dikerjakan. ” tambah datok lagi.

Kat sekolah, kadang-kadang cikgu pun tanya juga kenapa ayah tak sain. Yang paling suka tanya, Cikgu Madun dengan Cikgu Besar, Cikgu Adullah. Cikgu dulu-dulu bukan saja kenal anak murid, tapi emak bapak anak murid pun dia kenal juga. Malahan sain mak bapak pun dia kenal. Bukan macam sekarang.

Maka tidak hairan jugalah ayah pernah kejar adik saya dengan batang cangkul sampai ke hujung kampung kerana adik ponteng sekolah. Adik sembunyi dalam rimbun pokok mengkuang. Sampai malam. Adik pun pandai juga. Sembunyi dalam rimbun mengkuang. Ayah tak masuk. Ada duri. Hujung-hujung, datok tegur ayah.

“Kau ni keras sangat dengan budak tu, dia dah tak nak sekolah, kita kawinkan aje”

Itulah datok, penuh diplomasi. Kami cukup takut bila datok kata nak kahwinkan kami kalau dah malas sekolah. Gila ke, kecik-kecik suruh kahwin.

Budak-budak sekarang lainlah, tak makan saman. Tak suruh kahwin pun dia nak kahwin. Sebab tulah Ali Rustam (KM Melaka) bina Sekolah Harapan di Melaka.

Semasa zaman perintah British ayah masuk Junggle Squad. Ayah hebat. Umur 18 tahun dah tembak komunis. Ayah jadi “sharp shooter”. Kami bangga dengan ayah.

Balasungkawa. Ayah (Siri 1)

Hospital Putrajaya,

Jam 6.02 petang, Khamis 16 Ramadan 1431H bersamaan 26 Ogos 2010 . Esok hari Nuzul Quran.

Ayah kesayangan meninggal dunia. Harapan melihat dia kembali sembuh tiba-tiba direnggut dengan kematiannya. Walaupun doctor telah meramalkan bahawa penyakitnya tidak ada harapan untuk sembuh. saya tetap berdoa agar keajaiban berlaku.

Sehari sebelum itu, keadaanya mula stabil. Saya tidak putus-putus berdoa agar Allah memberi saya waktu yang lebih panjang untuk menjaganya. Tempoh seminggu menjaganya amat tidak cukup berbanding pengorbanan yang dia berikan. Semasa bertukar balik dari Negeri Di Bawah Bayu satu ketika dulu, saya pernah menyebut untuk menjaganya sekiranya dia sakit. Hampir 14 tahun saya menetap di Sabah.

16 Ogos 2010 iaitu hampir dua minggu sebelum itu, saya dan kakak mengambilnya dari Melaka untuk pemeriksaan kesihatan di HUKM. Temujanji asalnya pada 18 Ogos kami percepatkan kerana tidak mahu ayah lewat mendapat rawatan.

Sepanjang perjalanan dari Melaka ke HUKM, ayah tidak berhenti-henti bercakap. Pelbagai isu mampu disentuhnya. Saya akui ayah seorang yang bijak tapi tidak berpeluang mendapat pendidikan sewajarnya.

Beliau cukup sedar pelajaran amat penting. Dari kesedaran itulah dia tidak membantah untuk kakak saya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bayangkanlah, ditahun-tahun 70an dulu, bukannya senang mahu melepaskan anak perempuan belajar jauh ke tempat orang. Kakak saya pula masih amat muda ketika tu. Baru 18 tahun. Masak pun tak berapa terer lagi. Saya masih ingat, dia masak kek pun tak berapa nak jadi. Kek warna oren tapi tak jadi oren. Kek warna pink jadi coklat. Keras. Berdengkang kata orang Melaka.

Tapi kami makan juga. Habiskan juga. Kalau tak makan, dia tak mahu buat lagi. Lagi parah.

Walau umur kakak baru setahun jagung, demi pelajaran, saya lihat ayah tidak keberatan membenarkannya. Malah ayah cukup gembira ketika itu. Ayah kata adik-adiknya nanti kena jadikan contoh. Emak pun berharap begitu.

He, he.. bab ni susah sikit nak komen.

Kerana kesedaran itu juga ayah jarang berada dirumah. Masanya sentiasa dihabiskan untuk mencari rezeki demi menampung kehidupan kami. Berkebun, memandu lori dan membawa teksi adalah aktivitinya.

Semasa saya kecil, ayah bawa teksi. Balik jauh malam. Kadang-kadang dinihari. Embun jantan dah keluar baru ayah balik. Emak tak pernah merungut tunggu ayah. Dah tengah malam pun emak masak nasi. Ayah suka makan masakan panas. Dah sejuk tak best.

Satu lagi perangai ayah, dia mesti mandi dulu. Mandi air suam. Bilik air kami pulak cuma ada perigi. Air perigi sejuk. Kalau tengah malam sejuknya sampai ke tulang. Emak akan masak air untuk mandi ayah.

Saya pun suka tunggu ayah. Bukan pasal nak makan masakan panas mak tapi nak makan mee goreng. Ayah selalu bawa balik mee goreng basah dari Tengkera. Mee ni power.

Mee ni dah tiada lagi sekarang. Dah tukar mee ganja Tengkera..

Berniagalah

Khutbah Jumaat minggu lepas, 15 Oktober 2010, amat menarik untuk orang yang berniaga.

Khatib membacakan sebuah Hadis Nabi s.a.w yang menyebut bahawa para peniaga akan dikumpulkan dikemudian hari bersama para syuhada dan para nabi (riwayat At-Tarmizi)

Begitulah beruntungnya orang berniaga. Sudahlah dijanjikan 9/10 rezki datang dari perniagaan. Dapat pulak berkumpul dengan para nabi dan syuhada.

Kita tak tau samada orang makan gaji dapat ke tidak kelebihan tu..

Kalau ikutkan JPA, kakitangan kerajaan memang confirm tak dapat.

Dulu, JPA pernah buat kajian. Hasilnya dikatakan bahawa TIDAK ada kakitangan kerajaan yang jujur. Saya ulang, TIDAK ada yang jujur.

Sedihnya bila kita dapat tahu hasil kajian tu.

Tapi kakitangan kerajaan yang baca tulisan ni janganlah sedih sangat. Yang buat kajian tu pun belum tentu jujur juga.

Harap-harap kajian ni tak betul. Kalau betul pun janganlah 100% betul.

Tapi kalau kita lihat kembali macam betul juga dapatan JPA tu
Kakitangan kerajaan sekarang ni pun macam dah tak kena pandang oleh pemimpin. Minta bonus pun tak dapat, macam-macam alasan diberi walaupun alasan tu macam syok sendiri sahaja.

Nasiblah nasib. Didunia lagi dah tak kena pandang,
Di akhirat nanti camana lah agaknya.

Bagi kakitangan kerajaan, bonus dah tentu tak dapat. Tunggulah tahun depan. Manalah tahu, ada umur dapatlah. Tahun depan budget speech dekat sikit dengan election. Masa tu mungkin ada harapan.

Sabar sahajalah. Lagipun itulah yang mampu dibuat.

Kalau nak duit juga. Apa kata kita berniaga. Tapi jangan berniaga passport macam yang kat Port Dickson tu. Itu mengkhianati negara namanya.

Banyak perniagaan halal boleh dibuat. Ada yang perlu modal banyak. Ada yang perlu modal sikit. Kalau nak cari yang tak banyak modal. Cuba kat sini. Sini pun boleh. Yang penting usaha,

Janganlah tunggu "bulan jatuh ke riba".

Bagi yang sedang berniaga, syukurlah. Teruskan usaha anda.
Fokuskan fikiran dan harapan untuk anda dikumpulkan dikemudian hari bersama para nabi dan syuhada.

Tapi berniaga kenalah jujur.
Bukan menjual barang dicuri atau ‘mencuri’ barang dijual.

Bagi yang jadi kontrektor tu, ingat-ingatlah
Nabi s.a.w memang tak suka jenis yang suka "tumbuk rusuk" .

Thursday, October 14, 2010

1 Malaysia

Pagi tadi saya pergi majlis Perhimpunan KDN.
Dalam majlis tu ada penyampaian Hadiah Inovasi.

Pemenangnya nak tau sapa... Jabatan Imigresen. Jabatan ni tengah panas sekarang ni.. banyak pegawai dia kena tangkap, ISA pun ada...

Sewaktu mengistiharkan Jabatan yang menang, penyampainya tersilap sebut

sepatutnya disebut "... dengan projek inovasinya "1 Passport 1 Jam"
tapi penyampai menyebut "1 Pasport 1 Malaysia"

Kami yang dok mendengarnya senyum jalah..
Mungkin penyampai tu tak silap
Mungkin ada benarnya...1 pasport 1 Malaysia
..guna 1 pasport ramai2 boleh masuk

Kita harap pihak-pihak tertentu tu paham2 lah.
Tuhan memberi hidayahnya dalam pelbagai bentuk dan cara
Cuma ramai dari kita yang susah nak paham atau buat-buat tak paham

bye..