Semasa saya di High School Melaka, ayah bawa lori kargo. Lori Malaysia. Saya pernah tumpang lori ayah untuk pergi sekolah. Ayah bawa barang dari Singapura ke Pulau Pinang, pergi balik. Kadang-kadang pergi tempat lain juga. Kuantan, Kota Baru, Alor Setar. Habis satu Tanah Melayu ayah jajah. Teman ayah, Pak Long Usop. Dia meninggal lama sudah. Dulu dari ayah.
Saya masih ingat, semasa tu, kelibat ayah cuma kami lihat dihujung minggu sahaja. Walaupun ayah jarang berada di rumah, saya tahu, dia amat penyayang. Kalau ke Singapura, ada saja ole-ole dari sana. Terutamanya makanan dalam tin. Saya suka Laici. Makan buahnya saja. Sirap buang. Masa tu nilai duit Malaysia / Singapura sama saja. Harga barang di Singapura pun bukan main lagi murahnya.
Ayah juga amat garang pasal pelajaran. Maka tidak hairanlah kami tidak berani menunjukkan report kad kepadanya. Kami lebih rela menunjukkan kepada Datok kerana datok lebih relax. Kalau ada markah kena tulis dengan dakwat merah, terkekeh-kekeh datok ketawa.
“He, he… Apa engkau dah buat ni sampai dapat markah merah, cikgu engkau dah habis dakwat hitam ke ?’ Dalam gelak datok tegur.
"Kalau ayah engkau nampak ni, mati engkau dikerjakan. ” tambah datok lagi.
Kat sekolah, kadang-kadang cikgu pun tanya juga kenapa ayah tak sain. Yang paling suka tanya, Cikgu Madun dengan Cikgu Besar, Cikgu Adullah. Cikgu dulu-dulu bukan saja kenal anak murid, tapi emak bapak anak murid pun dia kenal juga. Malahan sain mak bapak pun dia kenal. Bukan macam sekarang.
Maka tidak hairan jugalah ayah pernah kejar adik saya dengan batang cangkul sampai ke hujung kampung kerana adik ponteng sekolah. Adik sembunyi dalam rimbun pokok mengkuang. Sampai malam. Adik pun pandai juga. Sembunyi dalam rimbun mengkuang. Ayah tak masuk. Ada duri. Hujung-hujung, datok tegur ayah.
“Kau ni keras sangat dengan budak tu, dia dah tak nak sekolah, kita kawinkan aje”
Itulah datok, penuh diplomasi. Kami cukup takut bila datok kata nak kahwinkan kami kalau dah malas sekolah. Gila ke, kecik-kecik suruh kahwin.
Budak-budak sekarang lainlah, tak makan saman. Tak suruh kahwin pun dia nak kahwin. Sebab tulah Ali Rustam (KM Melaka) bina Sekolah Harapan di Melaka.
Semasa zaman perintah British ayah masuk Junggle Squad. Ayah hebat. Umur 18 tahun dah tembak komunis. Ayah jadi “sharp shooter”. Kami bangga dengan ayah.
No comments:
Post a Comment