Wednesday, October 20, 2010

Balasungkawa - Ayah (Siri 4)

Mendengar dan melayan ayah bercerita, saya tak perasan kami dah sampai KL. Sekali lagi ayah tanya saya, bolehkah dia datang hari ni, temujanji dua hari lagi.

“ Doktor tak marah ke nanti? Dia orang dah susah-susah tetapkan temujanji, kita datang hari ni”.

Itulah ayah, dalam keadaan sakit pun dia tetap tak mau susahkan orang. Dia pesan pada saya, jangan susahkan orang. Buat sendiri kerja yang kita boleh buat. Kalau jadi bos pun kena buat kerja juga. “Ular menyusur akar tak akan hilang bisanya”.

Satu lagi ayah pesan, kerja jangan ponteng, jangan “curi tulang”. Rezeki kena berkat. Rezeki famili kena jaga.

Setiba kami di A&E HUKM, ayah terus menerima rawatan. Tiub dimasukkan dalam salur kencing ayah. Baru saya tahu, rupanya ayah sukar untuk buang air kecil. Ayah terus dimasukkan ke wad. Maka malam itu, ayah tidur di hospital. Andaian asal kami bahawa ayah cuma datang untuk pemeriksaan sahaja jelas sekali meleset.

Malam itu emak mula bermalam di rumah saya tapi emak tidak betah duduk di rumah.

“Kau hantarkan aku pergi hospital. Biar aku je jaga ayah kau kat sana. Orang lain mana paham ayah kau”

Kuat semangat emak. Sebenarnya dia pun bukannya kuat sangat. Semangat je yang kuat. Naik tangga kat rumah pun dah tak larat. Ada hati nak duduk hospital jaga ayah. Tapi itulah lambang setianya seorang isteri. Semuga Allah menempatkan emak dikalangan orang-orang yang diredainya. Bukankah Nabi S.A.W pernah menegaskan bahawa syurga itu untuk isteri yang taat.

Mulai hari itu, kami adik beradik bergilir-gilir menjaga ayah di hospital. Anak-anak buah pun datang juga. Mereka dah besar-besar. Ada yang dah berkeluarga. Yang akan berkeluarga pun ada juga. Meriahlah juga hospital bila kami dah datang beramai-ramai. Macam-macam makanan dibawa kami. Ada yang kami beli, ada yang kami masak sendiri. Ayah kata makanan hospital tak sedap. Tak selera dia nak makan.

Kebetulannya, masa kami berada di katil ayah, petugas hospital bawa makanan untuk ayah. Kami cepat-cepat buka penutup makanan untuk melihat apa yang dihidangkan. Lagi pun ayah kata dia sangat lapar.

Sebaik saja penutup makanan dibuka, baunya terus menerjah hidung. Hanyir. Cepat-cepat kami tutup semula. Baunya pun dah mengikis selera kami.

Kalau orang sihat pun tak lalu nak ambil makanan tu. Macam manalah pesakit nak makan.
Pesakit seharusnya diberi makanan yang menyelerakan, bukan memualkan. Setahu saya, kalau nak baik sakit, tentulah kena makan.

Bukankah elok kalau makanan yang dimasak untuk pesakit turut dimakan oleh Dietition hospital ataupun sesekali dihidangkan untuk mesyuarat ketua-ketua jabatan di hospital. Syaratnya makanan tersebut hendaklah sama seperti yang dihidangkan kepada pesakit, bukan yang dimasak khas.

Satu perkara lagi, kenapalah katil pesakit diletak dihadapan pintu toilet wad. Buka saja pintu, bau toilet keluar. Rasanya orang-orang bijak tak buat cam ni. Tak taulah pulak kat HUKM.

No comments: