Hospital Putrajaya,
Jam 6.02 petang, Khamis 16 Ramadan 1431H bersamaan 26 Ogos 2010 . Esok hari Nuzul Quran.
Ayah kesayangan meninggal dunia. Harapan melihat dia kembali sembuh tiba-tiba direnggut dengan kematiannya. Walaupun doctor telah meramalkan bahawa penyakitnya tidak ada harapan untuk sembuh. saya tetap berdoa agar keajaiban berlaku.
Sehari sebelum itu, keadaanya mula stabil. Saya tidak putus-putus berdoa agar Allah memberi saya waktu yang lebih panjang untuk menjaganya. Tempoh seminggu menjaganya amat tidak cukup berbanding pengorbanan yang dia berikan. Semasa bertukar balik dari Negeri Di Bawah Bayu satu ketika dulu, saya pernah menyebut untuk menjaganya sekiranya dia sakit. Hampir 14 tahun saya menetap di Sabah.
16 Ogos 2010 iaitu hampir dua minggu sebelum itu, saya dan kakak mengambilnya dari Melaka untuk pemeriksaan kesihatan di HUKM. Temujanji asalnya pada 18 Ogos kami percepatkan kerana tidak mahu ayah lewat mendapat rawatan.
Sepanjang perjalanan dari Melaka ke HUKM, ayah tidak berhenti-henti bercakap. Pelbagai isu mampu disentuhnya. Saya akui ayah seorang yang bijak tapi tidak berpeluang mendapat pendidikan sewajarnya.
Beliau cukup sedar pelajaran amat penting. Dari kesedaran itulah dia tidak membantah untuk kakak saya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bayangkanlah, ditahun-tahun 70an dulu, bukannya senang mahu melepaskan anak perempuan belajar jauh ke tempat orang. Kakak saya pula masih amat muda ketika tu. Baru 18 tahun. Masak pun tak berapa terer lagi. Saya masih ingat, dia masak kek pun tak berapa nak jadi. Kek warna oren tapi tak jadi oren. Kek warna pink jadi coklat. Keras. Berdengkang kata orang Melaka.
Tapi kami makan juga. Habiskan juga. Kalau tak makan, dia tak mahu buat lagi. Lagi parah.
Walau umur kakak baru setahun jagung, demi pelajaran, saya lihat ayah tidak keberatan membenarkannya. Malah ayah cukup gembira ketika itu. Ayah kata adik-adiknya nanti kena jadikan contoh. Emak pun berharap begitu.
He, he.. bab ni susah sikit nak komen.
Kerana kesedaran itu juga ayah jarang berada dirumah. Masanya sentiasa dihabiskan untuk mencari rezeki demi menampung kehidupan kami. Berkebun, memandu lori dan membawa teksi adalah aktivitinya.
Semasa saya kecil, ayah bawa teksi. Balik jauh malam. Kadang-kadang dinihari. Embun jantan dah keluar baru ayah balik. Emak tak pernah merungut tunggu ayah. Dah tengah malam pun emak masak nasi. Ayah suka makan masakan panas. Dah sejuk tak best.
Satu lagi perangai ayah, dia mesti mandi dulu. Mandi air suam. Bilik air kami pulak cuma ada perigi. Air perigi sejuk. Kalau tengah malam sejuknya sampai ke tulang. Emak akan masak air untuk mandi ayah.
Saya pun suka tunggu ayah. Bukan pasal nak makan masakan panas mak tapi nak makan mee goreng. Ayah selalu bawa balik mee goreng basah dari Tengkera. Mee ni power.
Mee ni dah tiada lagi sekarang. Dah tukar mee ganja Tengkera..
No comments:
Post a Comment