Sabtu, 21 Ogos 2010, ayah dibenarkan keluar hospital. Saya membawa ayah balik ke rumah di Putrajaya. Ayah bercadang nak balik Melaka pada hari Isnin, iaitu selepas kakak mendapatkan ubat dari HUKM,. Ubat cuma boleh dapat pada hari Isnin tu. Hari ni Sabtu. Esok Ahad. Farmasi HUKM tutup.
Emak ajak saya ke rumah kakak di Bukit Lanjan.
“Kakak kau tak telepon pun, jomlah kita pergi rumah dia”.
Mak memang begitu. Satu hari tak dengar suara kakak, dia mula macam tak selera nak makan. Lebih-lebih lagi masa dia atau masa ayah sakit. Saya bersetuju untuk hantar mak dan ayah ke rumah kakak tapi saya kena balik semula ke Putrajaya sebab kebetulannya saya agak sibuk ketika tu. Bulan puasa, sibuknya lebih sikit dari biasa.
Ayah kata takpa, kalau tak sempat. Lain kali ja.
Seperti biasa, ayah tak pernah memaksa kehendaknya kepada orang lain. Walaupun dia boleh berbuat demikian. Sebagai anak, siapalah saya untuk membantah kehendaknya.
Isnin 23 Ogos 2010, sekitar jam 5 petang.
Ayah dimasukkan ke hospital sekali lagi. Kali ni Hospital Putrajaya. Di A&E Hospital Putrajaya, ayah diberi bantuan segera. Terimakasih tidak terhingga kepada kakitangan A&E yang bertindak pantas membantu ayah. Semasa saya dan kakak di Bilik Menunggu A&E, doktor berpesan kepada kami supaya bersedia menerima apa saja berita mengenai ayah. Sakit jantung ayah amat serius.
Malam itu ayah dipindahkan ke CCU.
Setelah 4 hari di hospital. Jam 6.02 petang, 16 Ramadhan 1431H, ayah disahkan meninggal dunia. Innalillahiwainnalillahirajiun.
Malam itu aku membawa ayah balik ke Melaka.
Perjalanan terakhir aku bersama ayah.
Dalam kereta jenazah, keadaannya sama seperti perjalanan kami ke KL sebelum ini,
Ayah masih lagi disebelah ku.
Tapi kali ini dia tidak duduk, dia berbaring.
Kali ini dia tidak bercakap. Dia diam.
Perjalanan balik ini amat sunyi.
Kedengaran cuma suara bacaan al-Quran dari kaset yang dipasang pemandu
Tiada lagi suara ayah. Aku tidak akan mendengar suara itu lagi.. selamanya.
Kematian ayah amat memberi kesan kepada ku..
Semuga Allah memberi rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang Dia redhai
Alfatihah
No comments:
Post a Comment